KPDN Kelantan gagalkan cubaan seludup 10.2 tan minyak masak bersubsidi

Sejumlah 10.2 tan minyak masak bersubsidi dirampas KPDN Kelantan pagi tadi/ RTM

BACHOK, 27 Julai- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menggagalkan cubaan menyeludup 10,200 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi bernilai RM25,500 dalam serbuan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di Kampung Pauh Sembilan, di sini awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPDN menyita sebuah lori, sebuah kereta dan dua pacuan empat roda; rampasan dan sitaan bernilai RM110,500.
  • Modus operandi berubah, pemunggahan berlaku jauh dari sempadan dan suspek melarikan diri; seorang pemandu ditahan untuk siasatan.
  • 600 kotak dipercayai diambil dari Lembah Klang untuk diseludup ke negara jiran; pemandu dikatakan dibayar RM300 setiap perjalanan.

Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata serbuan pada kira-kira 6.30 pagi itu turut menyaksikan pihaknya menyita sebuah lori tiga tan, sebuah kereta dan dua kenderaan pacuan empat roda dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM110,500.

Menurutnya, ketika serbuan di perkarangan sebuah rumah tidak berpenghuni yang dijadikan lokasi transit, anggota penguat kuasa mengesan beberapa individu sedang memunggah minyak masak paket satu kilogram daripada sebuah lori ke dalam tiga kenderaan lain.

“Modus operandi kali ini agak berbeza daripada sebelum ini kerana kebiasaannya mereka cuba melaksanakan transit minyak masak paket bersubsidi di kawasan panas berhampiran sempadan.

“Namun hari ini, aktiviti pemunggahan didapati berlaku jauh daripada sempadan dan ini menunjukkan perkembangan baharu dari segi modus operandi penyelewengan minyak masak,” katanya dalam sidang media di Kampung Pauh Sembilan, di sini, hari ini.

Beliau berkata menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, beberapa individu bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran, namun seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori berjaya ditahan bagi membantu siasatan.

Hanif berkata siasatan awal mendapati 600 kotak minyak masak bersubsidi itu dipercayai diperoleh dari Lembah Klang sebelum dibawa ke Kelantan untuk diseludup ke negara jiran.

Katanya, pemandu lori terbabit dipercayai menerima upah RM300 bagi setiap perjalanan untuk mengangkut bekalan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, KPDN Kelantan merekodkan 104 kes penyelewengan minyak masak paket bersubsidi dengan jumlah rampasan sebanyak 72,886 kg bernilai lebih RM178,836.

Beliau menegaskan KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan menyeleweng barang kawalan bersubsidi demi keuntungan peribadi sehingga menjejaskan hak dan bekalan rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.