Kes samun bersenjata, seorang lelaki tempatan ditahan

Foto ihsan PDRM

MIRI, 19 Mei – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun dan masih memburu seorang rakannya yang disyaki terlibat kes samun bersenjata dan curi kenderaan di Bulatan Times Square, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua lelaki mendekati wanita dan anak dalam kereta; suspek mengacukan pisau ke leher anak sebelum melarikan pacuan empat roda.
  • Kenderaan ditemui semula di parkir sebuah pusat membeli belah di Miri; suspek ditahan berhampiran lokasi kejadian.
  • Suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan samun, curi kenderaan dan dadah; ditahan reman enam hari; rakan masih bebas.

Ketua Polis Daerah, ACP Mohamad Farhan Lee Abdullah dalam kenyataan media berkata, suspek ditahan di kawasan berhampiran Times Square pada Ahad lalu, dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian.

Dalam kejadian kira-kira 9.15 pagi itu, seorang wanita dan anaknya didatangi dua lelaki tidak dikenali ketika mereka sedang berada di dalam kereta.

Suspek kemudian bertindak agresif dengan mengacukan pisau ke leher anak mangsa seterusnya melarikan kenderaan pacuan empat roda milik mangsa sebelum meninggalkan mangsa dan anaknya di kawasan Miri Park.

Hasil siasatan, polis berjaya menemui semula kenderaan tersebut di parkir sebuah pusat membeli belah di Miri dan menahan seorang lelaki tempatan di kawasan berhampiran, pada hari yang sama.

Semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan samun, curi kenderaan dan dadah.

Suspek kini ditahan reman enam hari sehingga 24 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, selain memburu seorang lagi rakan suspek yang masih bebas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.