Kes pemerasan dan cabul anggota polis: Kertas siasatan dirujuk DPP

KUALA LUMPUR, 28 Oktober– Polis Kuala Lumpur telah melengkapkan kertas siasatan berkaitan kes pemerasan dan cabul yang melibatkan tiga anggotanya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kertas siasatan mengenai pemerasan dan cabul melibatkan tiga anggota telah lengkap dan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
  • Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marcus, mengesahkan rujukan kertas siasatan kepada DPP untuk arahan selanjutnya.
  • Anggota terbabit dicadangkan dituduh; jika disahkan, mereka akan digantung tugas serta-merta mengikut tatatertib.
  • Siasatan tatatertib oleh JIPS dijalankan serentak dengan siasatan jenayah JSJ IPK Kuala Lumpur.

Kertas siasatan tersebut kini dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi mendapatkan arahan selanjutnya.

Perkara tersebut telah disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marcus dalam satu kenyataan.

Pada masa ini, anggota berkenaan dicadangkan dituduh di mahkamah, dan tindakan lanjut akan diambil berdasarkan arahan yang diterima daripada pihak DPP.

Sekiranya arahan untuk pertuduhan diterima, ketiga-tiga anggota berkenaan akan digantung tugas serta-merta selaras dengan peraturan tatatertib jabatan berkenaan.

Buat masa ini, mereka hanya menjalankan tugasan di bahagian dalaman.

Siasatan tatatertib turut dijalankan secara serentak oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) bersama siasatan jenayah oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.