
KANGAR, 16 Mac – Seorang nenek didenda RM1,500 di Mahkamah Majistret Kangar, kerana mengemukakan maklumat palsu ketika mendaftar kelahiran cucunya.
- Nenek didenda RM1,500; mahkamah perintahkan tiga bulan penjara jika gagal bayar.
- Pertuduhan: mengemukakan maklumat palsu semasa pendaftaran kelahiran di Kaunter JPN UTC Perlis, 12 Mac 2018.
- Didakwa mengikut Seksyen 36(1)(b), Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).
- Tertuduh menggunakan kad pengenalan anak lain; mendakwa tiada niat jahat; kes diketahui selepas permohonan pindaan nama ibu 2021.
Tan Kim Lean, 67 tahun, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal yang turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah mengemukakan maklumat palsu dalam butir-butir material semasa membuat Permohonan Daftar Kelahiran cucunya.
Kesalahan itu dilakukan di Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara UTC Perlis, pada 3 petang, 12 Mac 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 36 (1) (b), Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299), yang boleh dihukum di bawah akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Azry Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan YBGK, Azira Aziz.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pendaftaran Perlis, Madihah Muhammad, ketika ditemui di mahkamah berkata, tertuduh menggunakan kad pengenalan milik anaknya yang lain sewaktu pendaftaran kelahiran cucunya.
Katanya, tanpa berniat jahat, tertuduh tidak mengetahui perkara tersebut adalah salah.
Perbuatan itu diketahui susulan permohonan pindaan nama ibu yang dikemukakan tertuduh pada tahun 2021.