Kemalangan empat kenderaan di Machang, dua cedera

Foto Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, Kelantan

MACHANG, 2 Februari – Dua lelaki cedera selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 35.5 Jalan Kota Bharu–Kuala Krai, Batu 23, di sini pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lori hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah kereta, memulakan rantaian kemalangan.
  • Kereta dilanggar kemudiannya bertembung dengan lori dari arah bertentangan yang membawa kayu.
  • Lori terbalik, menyeret kereta dan menyebabkan motosikal pelajar terbabas serta merempuh pagar masjid.
  • Dua mangsa, pemandu lori (69) dan penunggang motosikal (15), dihantar ke Hospital Machang; kes disiasat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, sebuah lori yang berada di belakang sebuah kereta dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, perlanggaran itu menyebabkan kereta terbabit melanggar sebuah lagi lori dari arah bertentangan yang membawa muatan kayu.

“Akibat pelanggaran tersebut, lori terbalik sebelum menyeret kereta di atas jalan, lalu terbabas dan berpusing sehingga melanggar sebuah motosikal yang ditunggang seorang pelajar dari arah Kuala Krai,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, motosikal itu kemudiannya merempuh pagar sebuah masjid di sebelah kiri jalan menghala ke Kota Bharu.

“Pemandu lori, Mohd Noor Dollah, 69, dan penunggang motosikal, Muhamad Shakirin Amirul Mohd Sabry, 15, dihantar ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Rosmida Rasid di talian 019-983 3601 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang di 09-975 1222.