Kastam rampas vape, ganja bernilai lebih RM600,000

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim dalam sidang media di Pangkalan Marin Kastam/ Foto RTM

KUALA PERLIS, 24 Februari – Sebanyak 9,400 unit peranti vape dan 20 kilogram ganja dirampas dalam dua serbuan berasingan di sini, awal bulan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 9,400 unit peranti vape dirampas dalam serbuan di perairan Kurung Tengar awal Februari.
  • 20 kilogram ganja ditemui dalam dua guni putih di tebing sungai Kampung Bukit Tok Po.
  • Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan melebihi RM660,000 termasuk duti dan cukai.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967; sebuah sampan dan enjin turut disita.

Nilai keseluruhan sitaan dianggar melebihi RM660,000.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis memaklumkan, rampasan pertama dilaksanakan pada 6 Februari di perairan Kurung Tengar.

Pengarahnya, Ismail Hashim berkata, pasukan operasi Cawangan Penguatkuasaan Marin Kuala Perlis mengejar sebuah sampan yang bergerak dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun, suspek memecut ke kawasan perairan cetek dan beberapa lelaki dilihat melarikan diri ke daratan.

“Hasil pemeriksaan ke atas sampan tersebut menemukan beberapa kotak mengandungi peranti vape pelbagai perisa yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya.

Dalam serbuan berasingan pada 10 Februari lalu, pasukan operasi JKDM Kuala Perlis menemukan dua guni putih mengandungi 20 ketulan mampat ganja di tebing sungai Kampung Bukit Tok Po.

Rampasan melibatkan peranti vape dianggarkan bernilai RM454,000 dengan duti serta cukai berjumlah RM95,340, manakala kanabis seberat 20 kilogram pula dianggarkan bernilai RM62,000.

Selain vape, pihaknya turut menyita sebuah sampan bersama enjin yang dianggarkan bernilai RM50,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.