Kanak-kanak maut terjatuh ke dalam kolam

Foto RTM

KUALA NERANG, 15 Februari – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun empat bulan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam kolam, dalam kejadian di Kampung Perik, Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kanak-kanak lelaki tiga tahun empat bulan jatuh ke dalam kolam sedalam satu meter semasa bermain di tepi kolam.
  • Keluarga menyedari kehilangan sebelum menemui kasut mangsa terapung di dalam kolam.
  • Bapa mengangkat mangsa ke darat, mangsa diberi rawatan kecemasan di Hospital Jitra.
  • Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat dihantar ke HSB Alor Setar untuk bedah siasat.

Mangsa, Ayyash Ahmad Sajid Ahmed, murid Tabika KEMAS Kampung Perik 1 di Kuala Nerang, disahkan meninggal dunia selepas beberapa jam dirawat di Hospital Jitra.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Affzanisham Mohammad Sham berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.00 petang itu, mangsa dikatakan bermain pasir di tepi kolam berkedalaman satu meter yang terletak berhampiran rumah.

Bagaimanapun mangsa dilaporkan tiada di lokasi tersebut menyebabkan ibu bapanya mencari di kawasan sekitar sebelum melihat kasut mangsa terapung di dalam kolam.

Mangsa akhirnya ditemukan di dalam kolam dan dibawa naik ke daratan oleh bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ayyash Ahmad kemudian dibawa ke Hospital Jitra dan diberikan rawatan kecemasan.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 11.00 malam.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyyah, HSB Alor Setar untuk proses bedah siasat.