
KUALA LUMPUR, 16 Februari – Sebanyak tujuh kes kesalahan dikesan setakat hari ini dalam tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 di sekitar ibu negara.
- Tujuh kes pelanggaran direkod semasa pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 di Kuala Lumpur.
- Tiga kesalahan utama: jual melebihi harga maksimum, tiada tanda harga, gagal pamer tanda harga merah jambu.
- Hukuman: individu denda hingga RM100,000 atau penjara; syarikat denda hingga RM500,000 atau kompaun.
- Skim kawal 16 barangan keperluan termasuk ikan, udang, bawang, cili, kentang, lobak, halia, ayam dan daging babi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Sabri Seman berkata kes berkenaan melibatkan tiga jenis kesalahan utama.
Antaranya menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum, gagal mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan kawalan serta tiada tanda harga.
Beliau berkata bagi kesalahan menjual barangan melebihi harga maksimum, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM150,000.
“Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu yang wajib dipamerkan bagi 16 barangan kawalan, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun RM5,000, manakala syarikat boleh didenda RM20,000 atau dikompaun RM10,000.
“Kesalahan ketiga ialah tiada tanda harga dan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini,” katanya pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan SHMMP di sini hari ini.
Beliau berkata sebanyak 16 jenis barangan dikenal pasti untuk dikawal di bawah skim berkenaan bagi memastikan pengguna dapat menikmati barangan keperluan pada harga berpatutan.
“Antaranya ikan bawal putih, udang putih, bawang, cili merah, kobis bulat import, lobak merah, ubi kentang, halia tua, kepak ayam serta daging babi,” tambah beliau.
SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 berkuat kuasa selama sembilan hari bermula 13 hingga 21 Februari, merangkumi empat hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan empat hari selepas perayaan.