
SIBU, 4 Mac – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan rokok dan minuman keras tidak berkastam bernilai keseluruhan RM1.36 juta dalam satu serbuan di Sibu.
- JKDM Sarawak menyerbu sebuah rumah kosong di Sibu dan merampas rokok serta minuman keras disyaki tidak berkastam.
- Ditemui 1.56 juta batang rokok dan 1,591.92 liter minuman keras semasa pemeriksaan di lokasi.
- Nilai sitaan RM243,551.52; jumlah duti import dan cukai jualan terlibat RM1,112,773.27.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dengan hukuman denda dan penjara jika sabit kesalahan.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata serbuan dijalankan pada 10 Februari lalu kira-kira pukul 9.20 pagi oleh sepasukan pegawai daripada Unit Operasi Darat, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sibu di sebuah rumah kosong di Jalan Teku Lama.
Pemeriksaan di lokasi membawa kepada penemuan sebanyak 1.56 juta batang rokok dan 1,591.92 liter minuman keras yang disyaki tidak berkastam, dipercayai melanggar Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Nilai sitaan rokok dan minuman keras dianggarkan RM243,551.52, manakala jumlah duti import dan cukai jualan terlibat ialah RM1,112,773.27. Kes ini masih dalam siasatan dan kami sedang mengesan pemilik rokok dan minuman keras ini,” katanya.
Modus operandi sindiket adalah menyimpan barangan tidak berkastam di rumah kosong bagi mengelakkan pengesanan pihak berkuasa. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau menyimpan barang larangan import.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000, mana lebih tinggi, dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau RM500,000, serta hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.