
KOTA BHARU, 23 Februari – Seorang peniaga makanan berusia 25 tahun ditahan pihak berkuasa agama selepas dipercayai memuat naik video di aplikasi TikTok dengan berpakaian dan berlagak seperti wanita.
- Peniaga lelaki 25 tahun ditahan JAHEAIK selepas didakwa memuat naik video TikTok berpakaian dan berlagak seperti wanita.
- Pembelaan belum melihat bukti video; ia dijangka dikemukakan semasa perbicaraan untuk dinilai kesahihannya.
- Anak guam dibebaskan dengan bon RM3,000; pembelaan mohon lanjutan atau bon baharu RM5,000–RM10,000.
Orang yang disyaki (OYDS) yang berasal dari Kelantan itu ditahan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) selepas tampil memberi keterangan pada 25 November 2025.
Peguam syarie yang mewakilinya, Muhammad Syarafi Mohd Salleh berkata, anak guamnya sebelum ini ditahan di bawah Seksyen 19, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Negeri Kelantan 2019 atas kesalahan berkelakuan dan berlagak seperti wanita.
Menurut beliau, tindakan itu dibuat selepas pihak penguat kuasa JAHEAIK menerima aduan orang awam berhubung video dimuat naik OYDS di TikTok yang didakwa memaparkan dirinya berpakaian serta berperwatakan seperti wanita.
Katanya, setakat ini pihak pembelaan belum meneliti kandungan video berkenaan kerana ia dijangka akan dikemukakan sebagai sebahagian daripada bahan bukti pihak pendakwaan semasa perbicaraan kelak.
“Video itu mungkin diambil dan pengadu merasakan dia berperwatakan seperti wanita. Kita belum melihat dokumen bukti yang akan dibawa kerana video tersebut akan menjadi sebahagian daripada eviden pihak pendakwaan. Pada masa perbicaraan nanti, kita akan nilai sama ada video itu benar-benar memaparkan dia sebagai seorang wanita atau sebaliknya,” katanya.
Muhammad Syarafi memaklumkan, anak guamnya telah membayar bon jaminan sebanyak RM3,000 pada Januari lalu sementara menunggu tarikh pertuduhan di Mahkamah Syariah Negeri Kelantan.
Bagaimanapun, pertuduhan yang dijadualkan hari ini tidak dapat diteruskan berikutan isu teknikal di pihak pendakwaan.
Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon lanjutan tempoh bon jaminan atau pengeluaran bon baharu dengan nilai lebih tinggi antara RM5,000 hingga RM10,000.
Tambah beliau, sekiranya tiada sebarang pendakwaan difailkan selepas tarikh ditetapkan, pihaknya akan mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan bagi menggugurkan kes berkenaan.
Muhammad Syarafi yang turut dibantu rakan peguamnya, Mohd Faqqhurudin Mohd Nasir bagaimanapun enggan mengulas lanjut memandangkan pihaknya masih belum menerima kertas pertuduhan dan fakta kes.
Tarikh baharu bagi pertuduhan terhadap anak guamnya akan dimaklumkan kemudian.