Ibu tunggal didenda RM2,800 halang tugas polis

Shamima Awang Daud, 38, mengaku bersalah halang tugas polis di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini

BUKIT MERTAJAM, 3 Mac- Seorang ibu tunggal didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini selepas mengaku bersalah menghalang tugas anggota polis pada 17 Februari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ibu tunggal didenda RM2,800 selepas mengaku halang tugas polis ketika pemeriksaan rondaan.
  • Dia melarikan diri semasa pemeriksaan sebelum ditahan semula berhampiran Plaza Tol Juru.
  • Dua lelaki warga Nepal bersama didakwa atas dokumen perjalanan tidak sah; salah seorang dipenjara.

Shamima Awang Daud, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Roshayati Radellah dan diperintah penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ibu kepada empat anak itu didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika ditahan untuk pemeriksaan di Jalan Song Bang Keng kira-kira pukul 8.45 malam.

Mengikut fakta kes, Shamima memandu sebuah kereta bersama dua lelaki warga Nepal ketika ditahan polis yang menjalankan rondaan.

Bagaimanapun, dia enggan memberi kerjasama dan bertindak melarikan diri sebelum ditahan semula di Kilometer 145.6 arah selatan sebelum Plaza Tol Juru.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfadzly Hassan, manakala Shamima diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Husna Ridzuan.

Sementara itu, di mahkamah sama, dua lelaki warga Nepal yang ditahan bersama Shamima mengaku bersalah atas pertuduhan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Sahid Dhuiya, 36, didenda sebanyak RM5,000, manakala Bharat Sani, 32, dijatuhi hukuman penjara empat bulan.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.