Bekas Panglima Tentera Darat, dua isteri antara lima ditahan SPRM

SPRM

PUTRAJAYA, 7 Januari- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan lima individu bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan seorang pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM menahan lima individu bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan pegawai tinggi ATM.
  • Bekas Panglima Tentera Darat hadir ke Ibu Pejabat SPRM dan ditahan bersama dua isterinya.
  • Sebuah suami isteri pemilik syarikat ditahan dan dibawa ke Mahkamah Putrajaya untuk permohonan reman.
  • Majistret membenarkan reman tujuh hari terhadap pasangan pemilik syarikat bermula hari ini.
  • Ketua Pesuruhjaya SPRM menegaskan siasatan akan dijalankan secara telus dan profesional.

Antara yang ditahan ialah bekas Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama dua orang isterinya, selepas ketiga-tiga mereka hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini sekitar pukul 3.00 petang.

Selain itu, sepasang suami isteri yang merupakan pemilik sebuah syarikat turut ditahan pagi tadi sebelum dibawa ke Mahkamah Putrajaya bagi permohonan reman.

Majistret membenarkan permohonan reman terhadap pasangan berkenaan selama tujuh hari bermula hari ini.

Bekas Panglima TDM bersama kedua-dua isterinya pula akan dibawa ke Mahkamah Putrajaya esok pagi bagi tujuan permohonan reman.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan terbabit dan menegaskan semua pihak diminta menunggu hasil siasatan yang sedang dijalankan.

Beliau berkata SPRM komited menjalankan siasatan secara telus dan profesional.