
KUALA LUMPUR, 16 Februari – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Rantau Panjang menggagalkan cubaan menyeludup masuk pelbagai hasil pertanian tanpa permit sah seberat 2.09 tan bernilai RM17,403 dari Thailand.
- AKPS Rantau Panjang rampas 2.09 tan hasil pertanian tanpa permit dari Thailand bernilai RM17,403.
- Kes disiasat di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011, barangan ditahan untuk tindakan lanjut.
- AKPS tekankan keselamatan makanan, pematuhan undang-undang, dan kerjasama agensi serta kepatuhan dokumentasi import.
AKPS dalam satu kenyataan memaklumkan, rampasan itu melibatkan halia, lengkuas, kobis, ubi kemili, pisang, limau dan serai.
“Keseluruhan barangan telah ditahan dan disita untuk tindakan lanjut oleh pihak berkuasa berkaitan.
“Kes berkenaan merupakan kesalahan pengimportan tanpa Permit Import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
“Kes disiasat di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” menurut kenyataan itu hari ini.
Setakat 15 Februari, AKPS Rantau Panjang merekodkan pelbagai rampasan di bawah Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (Akta 860) serta akta berkaitan berjumlah RM 96,068.
AKPS menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan keselamatan makanan, pematuhan undang-undang serta kepentingan pengguna sentiasa terpelihara, khususnya di pintu masuk sempadan negara.
Tambah kenyataan itu, kerjasama erat bersama agensi teras akan terus diperkukuh bagi membanteras sebarang cubaan membawa masuk barangan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.
Orang awam dan pihak industri turut disaran memastikan semua dokumentasi import, khususnya berkaitan pensijilan halal dan keselamatan makanan, adalah lengkap, sah serta mematuhi peraturan semasa.