
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Seramai 69 warga asing ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Warga Asing (Ops Pewa) yang dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu di sekitar bandar raya itu sejak 28 September lalu.
- Sebanyak 68 kenderaan disita termasuk 45 motosikal, 17 kereta dan enam kenderaan lain.
- JPJ mengingatkan pemandu tanpa dokumen tidak dilindungi insurans dan pemilik kenderaan boleh dikenakan tindakan undang undang.
- Sejak Januari, 305 warga asing dikenakan tindakan, hampir 1,500 saman dikeluarkan dan 291 kenderaan disita.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, menerusi operasi itu sebanyak 68 kenderaan disita termasuk 45 motosikal, kereta (17) dan kenderaan-kenderaan lain (enam).
Operasi yang berakhir hari ini turut menahan enam warga Bangladesh, China (9) Indonesia (7), Pakistan (5), Thailand (1) dan lain-lain (5).
“Kadangkala, kita perlu saling mengingatkan agar tidak ada pihak yang sanggup mengaut keuntungan dengan menggadaikan keselamatan dan nyawa orang lain.
“Kita perlu sedar bahawa pemandu warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah mungkin tidak dilindungi insurans.
“Sekiranya berlaku kemalangan, tiada pihak yang dapat dipertanggungjawabkan dan akhirnya, pemilik kenderaan itu sendiri yang perlu berhadapan dengan tindakan undang-undang di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau Op Gempur Pemandu Warga Asing, Op PEWA di sini.
Dalam pada itu Mohd Zamri turut memaklumkan bahawa, seramai 305 warga asing dikenakan tindakan menerusi Op PEWA yang dilakukan JPJ Terengganu sejak Januari lalu.
Sepanjang tempoh operasi, hampir 1,500 saman dikeluarkan, melibatkan 299 kenderaan. Turut disita 291 kenderaan atas pelbagai kesalahan jalan raya.
Antara kesalahan yang dikesan ialah memandu dan menunggang tanpa lesen sah selain menggunakan kenderaan tanpa perlindungan insurans.
Penguatkuasaan turut memberi perhatian kepada isu pemilik kenderaan tempatan yang menyewakan atau menjual kenderaan kepada warga asing tanpa
pematuhan undang-undang.