
- Serbuan di sebuah premis dua tingkat yang dipercayai tempat tinggal warga asing membawa kepada tangkapan.
- Kebanyakan ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
- Kes dirujuk ke Depot Imigresen Setia Tropika dan siasatan dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
SKUDAI, 17 Februari – 41 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Op Sapu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di sekitar Skudai pada Isnin.
Menurut Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, serbuan mengejut itu dilakukan di sebuah premis dua tingkat yang dipercayai dijadikan tempat tinggal warga asing.
Tangkapan melibatkan 30 warga Myanmar dan 11 warga Indonesia, berusia antara 16 hingga 49 tahun.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebahagian daripada mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Kesemua PATI tersebut dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI, Jabatan Imigresen Negeri Johor tidak akan berkompromi sama sekali dengan warga asing yang tinggak secara haram, tinggal lebih masa serta menyalahguna pas di negara.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi PATI ini,” katanya.