
KUALA LUMPUR, 29 Januari – Polis berjaya membongkar taktik licik sindiket pengedaran dadah yang menjadikan rumah inap desa sebagai pusat penyimpanan sementara sebelum mengedarkan bahan terlarang itu ke pasaran tempatan, dalam satu serbuan di sebuah rumah teres di Segambut, Selasa lepas.
- Serbuan di rumah teres di Segambut mendedahkan sindiket gunakan homestay sebagai pusat simpanan sementara dadah.
- Rampasan 261 kilogram syabu bernilai kira-kira RM13 juta, cukup untuk membekal lebih 1.3 juta penagih.
- Empat lelaki ditahan, tiga mempunyai rekod jenayah; mereka direman sementara siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata serbuan tersebut membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 32 tahun, selain rampasan 261 kilogram dadah disyaki jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM13 juta.
Menurut beliau, dadah berkenaan disimpan dalam 250 bungkusan plastik teh, dengan setiap bungkusan mengandungi kira-kira satu kilogram syabu bernilai sekitar RM50,000.
“Jika kesemua dadah ini terlepas ke pasaran, ia dianggarkan mampu membekalkan kepada lebih 1.3 juta penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Selain dadah, polis turut merampas dua buah kenderaan, iaitu sebuah Toyota Vellfire dan Perodua Alza yang menggunakan nombor pendaftaran palsu, serta wang tunai, menjadikan jumlah keseluruhan sitaan dianggarkan RM100,000.
Fadil berkata semakan mendapati tiga daripada empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau, dipercayai terlibat secara aktif dalam rangkaian pengedaran dadah.
Kesemua suspek kini direman sehingga 3 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Beliau menegaskan pihak polis akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras sindiket dadah yang menggunakan modus operandi baharu, termasuk menyalahgunakan kemudahan penginapan harian sebagai stor dadah, demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat bandar.