
KUALA LUMPUR, 17 Januari – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 217 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan di dua pusat perniagaan di ibu negara, hari ini.
- 217 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam operasi penguatkuasaan di dua pusat perniagaan di Kuala Lumpur.
- Tangkapan melibatkan 55 lelaki dan 162 wanita dari pelbagai negara, berdepan pelbagai kesalahan imigresen.
- Kes disiasat lanjut di Depot Imigresen; JIM gesa orang ramai dan majikan tidak melindungi PATI.
Operasi yang bermula pada pukul 11 pagi itu melibatkan dua lokasi iaitu Kota Raya, Kuala Lumpur serta Galaksi Ampang dan berakhir pada sebelah petang.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Lokman Affendi Ramli berkata operasi berkenaan disertai seramai 120 pegawai Imigresen daripada pelbagai peringkat dari Ibu Pejabat Imigresen Kota Raya serta 13 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Di lokasi pertama Kota Raya, seramai 876 individu diperiksa, terdiri daripada 652 warga asing dan 224 rakyat Malaysia.
“Sementara di sini, di Galaksi Ampang seramai 654 pengunjung telah berjaya diperiksa yang mana 394 orang adalah warga asing dan selebihnya 260 ialah rakyat Malaysia Menjadikan jumlah keseruhan pemeriksaan yang telah dibuat pada hari ini ialah sebanyak 1530 orang dan daripada jumlah ini seramai 217 orang pendatang asing tanpa izin ataupun parti telah ditahan kerana telah dipercayai melakukan berbagai kesalahan imigresion,” katanya dalam sidang media selepas tamat operasi, di sini.

Tangkapan tersebut melibatkan 55 lelaki dan 162 perempuan berusia antara 21 hingga 63 tahun.
Antara yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Filipina, India, Myanmar, Nepal, Pakistan, Nigeria dan lain-lain negara.
Kesemua yang ditahan akan ditempatkan di Depot Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, melanggar syarat pas, serta memegang kad atau dokumen yang tidak diiktiraf di bawah Akta Imigresen.
Tambah beliau, terdapat juga warga asing yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.
Selain itu, pihaknya turut mengesan cap keluar masuk Malaysia yang tidak teratur serta kad pengenalan disyaki palsu, yang telah diserahkan kepada JPN untuk tindakan lanjut.
Datuk Lokman Affendi menegaskan operasi di Galaksi Ampang bukan kali pertama dijalankan, namun dilaksanakan semula hasil risikan dan aduan orang awam.
Bagi tahun 2026, sehingga 17 Januari, lebih 500 operasi telah dijalankan, melibatkan pemeriksaan lebih 6,000 individu, dengan 1,759 PATI dan 35 majikan ditahan, tidak termasuk tangkapan dalam operasi hari ini.
Jabatan Imigresen sekali lagi mengingatkan majikan dan orang ramai supaya tidak melindungi PATI kerana tindakan tegas undang-undang akan diambil.