
JOHOR BAHRU, 16 Februari – Seramai 184 tahanan pelbagai warganegara dipindahkan ke negara asal masing-masing oleh Depot Imigresen Pekan Nenas pada minggu kedua Februari 2026.
- 184 tahanan pelbagai warganegara dipindahkan ke negara asal oleh Depot Imigresen Pekan Nenas pada minggu kedua Februari 2026.
- Pemindahan melalui KLIA Terminal 1 & 2, KLIA Senai dan Terminal Feri Pasir Gudang; kebanyakan membawa pasport atau dokumen perjalanan sementara.
- Tahanan telah selesai hukuman, disenarai hitamkan dan dilarang memasuki semula Malaysia mengikut tempoh ditetapkan.
Daripada jumlah itu, 82 tahanan merupakan warganegara Indonesia, diikuti 59 Bangladesh, 15 Filipina, 10 Pakistan, lapan Myanmar, empat Kemboja, dua Sri Lanka serta masing-masing seorang warganegara Sudan, India, New Zealand dan Vietnam.
Jabatan Imigresen Negeri Johor dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, kesemua tahanan dipindahkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 dan Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, serta Terminal Feri Pasir Gudang.
“Semua tahanan yang dihantar pulang memiliki pasport sah, manakala sebahagian lagi telah diberikan Dokumen Perjalanan Sementara atau Emergency Travel Document oleh kedutaan negara masing-masing bagi tujuan pemindahan,” menurut kenyataan itu.
Pemindahan berkenaan dilaksanakan selepas kesemua tahanan selesai menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan, termasuk di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Semua individu yang dihantar pulang turut disenarai hitam dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia dan tidak dibenarkan memasuki semula negara ini bagi sebarang tujuan mengikut tempoh yang telah ditetapkan.
Orang awam yang mempunyai urusan berkaitan penghantaran pulang tahanan, termasuk pembelian tiket, boleh berurusan di kaunter perkhidmatan yang disediakan di Depot Imigresen Pekan Nenas tanpa sebarang caj perkhidmatan dikenakan.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Unit Rekod dan Pemindahan Depot Imigresen Pekan Nenas di talian 07-699 3540 atau melalui Sistem Pertanyaan Online (SPO).