
SUNGAI SIPUT, 2 September – Sebanyak 168 mesin perlombongan Bitcoin dirampas dalam dua operasi berasingan di Sungai Siput dan Perak Tengah, sekali gus membongkar kegiatan mencuri bekalan elektrik untuk menjalankan aktiviti berkenaan.
- Polis merampas 132 mesin perlombongan di Sungai Siput dan 36 di Seri Iskandar hasil beberapa serbuan.
- Kegiatan dipercayai dijalankan di rumah atau premis lama ditinggalkan yang dipecah masuk menjadi pusat perlombongan.
- Seorang lelaki tempatan 39 tahun ditahan; suspek ada lapan rekod jenayah lampau, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, tiga serbuan di Sungai Siput pada 31 Ogos lalu membawa kepada rampasan 132 mesin perlombongan Bitcoin, manakala 36 lagi dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Seri Iskandar.
Pihak polis percaya kegiatan itu dijalankan di rumah atau premis yang telah lama ditinggalkan dan tidak berpenghuni.
“Pemilik-pemilik premis ataupun pemilik rumah ini selalunya tinggal lama dalam keadaan rumah ini kosong. Apabila pihak suspek mendapati rumah ini kosong lama, mereka memecah masuk dan menggunakan rumah-rumah ini sebagai pusat ataupun tempat perlombongan Bitcoin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, di sini.
Dalam serbuan di Sungai Siput, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.