16,500 unit vape cuba diseludup ke Thailand

Maritim Malaysia rampas belasan ribu rokok elektronik untuk diseludup ke Thailand/Foto Maritim Malaysia

KUALA PERLIS, 8 Mac – Kira-kira 16,500 unit pelbagai jenis peranti rokok elektronik atau vape yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) awal pagi semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga lelaki tempatan ditahan ketika memindahkan kotak vape dari lori ke bot fiber.
  • Suspek dalam bot membuang kotak ke laut tetapi anggota berjaya mengutip semula kotak dari laut, jeti dan lori.
  • Dua lelaki dipercayai warga Thailand berjaya melarikan diri ke arah perairan negara jiran.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam; rampasan termasuk lori dianggarkan melebihi RM500,000; suspek dibebaskan dengan jaminan.

Dalam operasi kira-kira 1.15 pagi itu, tiga lelaki tempatan termasuk pemandu lori berusia antara 19 hingga 47 tahun diberkas ketika sedang memindahkan kotak berisi vape dari lori ke sebuah bot fiber.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata ketika serbuan dijalankan, lori berkenaan diletakkan rapat dengan jeti bagi mempercepatkan proses pemindahan 56 kotak berisi vape ke dalam bot.

“Apabila mereka menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek di dalam bot bertindak melarikan diri dengan mencampakkan kotak-kotak vape ke laut. Namun anggota kami berjaya mengutip semula kotak yang dicampakkan itu bersama kotak yang berada di dalam bot, di jeti dan di atas lori,” katanya.

Tiga lelaki ditahan ketika sedang memindahkan kotak berisi vape dari lori ke sebuah bot fiber/Foto Maritim Malaysia

Beliau berkata dua lelaki dipercayai warga Thailand yang berada di dalam bot fiber berjaya melarikan diri ke arah perairan negara jiran.

Romli berkata hasil pemeriksaan mendapati semua kotak berkenaan mengandungi kira-kira 16,500 unit vape yang dipercayai dibawa dari ibu negara untuk diseludup ke Thailand.

Menurutnya, suspek tempatan yang ditahan dipercayai menerima upah RM30 bagi setiap kotak vape yang dihantar.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk sebuah lori dianggarkan melebihi RM500,000,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan (d) Akta Kastam 1967 kerana disyaki mengimport atau memiliki barangan larangan tanpa kelulusan.

Ketiga-tiga lelaki yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan sementara siasatan lanjut dijalankan.

Antara rokok elektronik yang dirampas