
DUNGUN, 19 Mei – Enam individu termasuk empat pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan Op Khazanah di sebuah kilang kayu di Kampung Binjai pada Ahad lalu dengan pelbagai rampasan termasuk kayu bulat, kayu palet dan mesin pemprosesan bernilai keseluruhan hampir RM500,000.
- Rampasan termasuk 494 batang kayu bulat, 14,112 batang kayu palet serta peralatan pemprosesan seperti mesin band saw dan cross cut blade.
- Pekerja asing dipercayai mengendalikan pemprosesan kayu tanpa permit atau pas kerja sah; pemilik kilang dipercayai menggaji PATI untuk kurangkan kos.
- Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada JSJ IPD serta Jabatan Perhutanan Terengganu Barat; disiasat bawah Akta Perhutanan 1984 dan Akta Imigresen.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata serbuan pada pukul 10 pagi itu dilakukan anggota Risik Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Pegawai dan anggota E5 Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati enam lelaki berada di premis berkenaan membabitkan dua warga tempatan dan empat warga Indonesia.
“Pemeriksaan lanjut di kawasan kilang menemukan pelbagai barangan termasuk 494 batang kayu bulat pelbagai saiz dan spesies serta 14,112 batang kayu siap jenis palet yang disyaki tidak bercukai dan tidak mempunyai dokumen sah berkaitan sumber serta pemilikan hasil hutan.
“Turut dirampas dua mesin band saw, 12 unit cross cut blade, dua mesin pengasah cross cut blade dan dua jentera shovel,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Ahmad Radzi berkata semakan turut mendapati pekerja asing di premis itu dipercayai menjalankan kerja pemprosesan dan pengendalian kayu tanpa permit atau pas kerja yang sah.
Katanya, pemilik kilang dipercayai menggaji PATI bagi mengurangkan kos operasi selain tidak mematuhi syarat perundangan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati urusan pembelian kayu dipercayai dibuat melalui orang tengah bagi mengelakkan kaitan langsung dengan pemilik kilang.
“Bayaran dipercayai dibuat secara tunai tanpa rekod rasmi bagi mengelakkan pengesanan kewangan,” katanya.
Beliau berkata semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun serta Jabatan Perhutanan Daerah Terengganu Barat untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.