PETALING JAYA, 26 April - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencapai kata sepakat untuk menghentikan pertikaian peribadi antara mereka.
Melalui kenyataan bersama yang dimuat naik di hantaran Facebook masing-masing, Zahid dan Muhyiddin bersetuju dan mengambil keputusan menghentikan saman fitnah yang difailkan oleh Presiden Umno itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Keputusan itu dibuat selepas kedua-dua pihak mempertimbangkan kesan saman fitnah kepada umum dan keadaan semasa negara yang perlu diutamakan, terutamanya soal kelangsungan kehidupan rakyat.
“Setelah mempertimbangkan kesan saman fitnah ini kepada umum dan setelah mengambil kira saranan daripada Hakim Mahkamah Tinggi serta keadaan semasa negara yang perlu diutamakan terutamanya soal kelangsungan kehidupan rakyat.
“Maka Zahid dan Muhyiddin bersetuju dan mengambil keputusan menghentikan pertikaian peribadi mereka dan prosiding Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Guaman No. WA-23CY-21-04/2022,” kata kenyataan itu pada Jumaat.
Susulan itu, kedua-dua pihak berharap agar keputusan yang dibuat dapat diterima dan dihormati oleh semua pihak serta keyakinan rakyat kepada Institut Kehakiman Negara.
"Zahid dan Muhyiddin merakamkan penghargaan kepada Hakim Mahkamah Tinggi dan pegawai-pegawai Mahkamah yang terlibat.
"...serta juga berharap agar keputusan ini dapat diterima dan dihormati oleh semua pihak dan tidak dijadikan bahan yang boleh mengganggu-gugat kesejahteraan dan kestabilan awam serta keyakinan rakyat kepada Institusi Kehakiman Negara," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, berdasarkan pernyataan tuntutan Ahmad Zahid, 70, berkata Muhyiddin mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya pada majlis Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di perkarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 di Mersing pada 16 Feb lepas.
Ahmad Zahid mendakwa kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes berkenaan dan mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor.
Sementara itu, Muhyiddin, 75, dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 9 Mei tahun lepas mendakwa kenyataan beliau bahawa Ahmad Zahid memintanya untuk campur tangan dalam kes jenayah di mahkamah adalah benar dan bukan memfitnah.
Presiden Bersatu itu mendakwa kenyataan dibuat semasa kempen PRN Johor itu merupakan komen adil serta berkepentingan awam.