fb fb fb fb fb

Tukang kebun didakwa bunuh pengawal sekolah di Ipoh

(Ravinderan a/l K Ramasamy dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh)

IPOH, 19 Oktober- Seorang tukang kebun dihadapkan ke Mahkamah Majistret sini atas tuduhan membunuh seorang pengawal keselamatan sekolah, minggu lepas.

Tertuduh, Ravinderan a/l K Ramasamy, 55, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan berikutan ia melibatkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, Ravinderan didapati melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Faizal Asri, 43, dalam pondok Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Seri Botani Simpang Pulai, antara pukul 3.00 petang hingga 8.00 malam pada 13 Oktober lepas.

Mahkamah menetapkan 10 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan laporan kimia dan perubatan.

Dakwaan terhadap tertuduh dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern, manakala tertuduh diwakili peguam Hanifatinnasikha Mod Dimiyati.

(Ravinderan a/l K Ramasamy dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh)

Media Baharu