fb fb fb fb fb

Tukang kayu cedera dilibas parang ketika rumah disamun

Tingkap yang dipecahkan oleh dua suspek kejadian samun di sebuah rumah di Jalan Ketoyong, Tanjung Malim pada pukul 5.30 pagi tadi/ Foto: PDRM

IPOH, 1 Ogos- Seorang tukang kayu menerima sembilan jahitan di tangan kanan apabila cedera dilibas parang ketika disamun dua lelaki dalam satu kejadian di sebuah rumah di Kampung Loke Yew di Tanjung Malim, dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata mangsa berusia 62 tahun yang tinggal seorang diri pada mulanya terdengar bunyi anjing menyalak dengan kuat dan mendapati dua lelaki sedang memecahkan tingkap rumahnya dalam kejadian pada 5.30 pagi itu.

"Mangsa bertindak mengunci pintu bilik, dan apabila suspek menyedari mangsa berada di dalam bilik rumah itu, kedua-dua suspek memecahkan pintu bilik berkenaan dan berlaku pergelutan antara mereka.

"Salah seorang suspek telah melibaskan parang menyebabkan tangan kanan mangsa mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hasni berkata mangsa cedera di tangan kanan dan anggaran kerugian yang dialami mangsa kira-kira RM1,200.

Beliau berkata pihaknya sedang giat memburu suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI