fb fb fb fb fb

Tiga termasuk pegawai kastam didakwa terima rasuah

Ketiga-tiga mereka didakwa meminta suapan melalui pemindahan wang secara dalam talian ke dalam akaun bank masing-masing sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori-lori kargo milik syarikat itu yang membawa keluar barangan dari kargo KLIA/Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 30 Mei - Tiga termasuk seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 24 pertuduhan menerima rasuah dengan nilai keseluruhan RM8,600.

Mohd Nasrizal Othman, 37; Mazuki A. Kadir, 54, dan Ahmad Samirrudin Muhammad Japri, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Mohd Nasrizal didakwa atas lima pertuduhan menerima suapan secara berperingkat dengan nilai keseluruhan RM1,150 antara 25 Jan 2017 hingga 1 Jun 2019 manakala Mazuki didakwa dengan 10 pertuduhan menerima suapan sebanyak RM2,900 antara 19 April 2018 hingga 4 April 2023.

Ahmad Samirrudin pula didakwa dengan sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah keseluruhan RM4,550 antara 31 Mei 2017 hingga 2 April 2019.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan bank di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA 2 dan Bandar Baru Salak Tinggi.

Mereka didakwa telah secara rasuah memperoleh suapan daripada pemilik syarikat kargo berusia 38 tahun melalui pemindahan wang secara dalam talian ke dalam akaun bank masing-masing sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori-lori kargo milik syarikat itu yang membawa keluar barangan dari kargo KLIA.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd 'Afif Ali dan Maziah Mohaide manakala Mohd Nasrizal dan Mazuki diwakili peguam Muhamad Aizat Fakri sementara peguam Adhwa' Afiqah Mohd Azmi mewakili Ahmad Samirrudin.

Mahkamah membenarkan Mohd Nasrizal dijamin sebanyak RM8,000 manakala jaminan RM10,000 kepada Mazuki dan Ahmad Samirrudin, kesemuanya dengan seorang penjamin selain turut memerintahkan kesemua tertuduh untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya sekali setiap bulan dan tidak dibenarkan berhubung atau mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan akses kepada data JKDM tidak diberikan kepada kesemua tertuduh sehingga selesai perbicaraan untuk mengelakkan gangguan kepada bukti atau saksi.

Mahkamah menetapkan 25 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi Mohd Nasrizal dan Mazuki dan 11 Julai bagi Ahmad Samirrudin.

Pada 23 Mei lepas, SPRM memaklumkan seramai 23 pegawai dan anggota kastam akan didakwa di enam Mahkamah Sesyen seluruh negara hingga 6 Jun depan selepas ditahan menerusi Ops Samba 2.0 yang bermula pada 11 hingga 25 Mac lepas, dengan menumpukan siasatan ke atas mereka yang bertugas di kargo KLIA dan berjaya mengesan ketirisan hasil cukai berjumlah RM2 bilion. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN