fb fb fb fb fb

Tiga lelaki ditahan disyaki eksplotasi 26 buruh paksa

FOTO PDRM PERAK

IPOH, 18 Julai- Tiga lelaki ditahan selepas disyaki mengeksplotasi buruh paksa serta tidak membayar gaji ke atas 26 warga asing di Kampung Seri Perkasa, Hutan Melintang di sini pada Selasa lepas.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, serbuan dijalankan di sebuah bangunan kira-kira pukul 1.30 pagi tadi oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk.

Ketika pemeriksaan di bangunan itu, polis menjumpai seorang lelaki tempatan, 52, dan seorang lelaki warga asing, 35, yang disyaki menjadi penjaga kepada kesemua pekerja warga asing terbabit.

Soal siasat kemudian membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan, 32, yang disyaki terlibat aktiviti pemerdagangan manusia.

"Hasil pemeriksaan, polis menjumpai mangsa dalam kurungan (membabitkan) 26 warga asing terdiri daripada 24 warga Bangladesh dan dua warga India," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Azizi berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeluduhan Migran 2007.

SITI AISHAH MD ISA