fb fb fb fb fb

Tiga kanak-kanak lelaki ditahan rogol rakan sekampung

PDRM

TAWAU, 30 September- Tiga kanak-kanak lelaki berusia antara 12 hingga 14 tahun ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam kes merogol seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun di sini pada Khamis lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Penguasa Polis (SP) Champin Piuh berkata kesemua suspek dikenali mangsa dan tinggal di kampung yang sama.

"Mangsa telah dirogol oleh tiga suspek yang dikenali di kawasan belakang rumah di sebuah kampung. Menurut keterangan mangsa, kedua-dua tangannya dipegang dan sapu tangan disumbat ke mulutnya," katanya kepada pemberita RTM.

Beliau turut mengesahkan permohonan reman ke atas suspek selama lima hari telah diluluskan bermula semalam hingga 3 Oktober ini untuk siasatan lanjut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan, Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Tarikh pendakwaan bagaimanapun masih belum ditetapkan kerana kes terbabit masih dalam proses siasatan.

Champin juga menyatakan bahawa mangsa dan seorang suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, manakala dua suspek lain memiliki sijil lahir tetapi tidak bersekolah.

Pada Jumaat lepas, ibu angkat mangsa telah membuat laporan polis mengenai kejadian di Balai Polis Tawau. Menurut laporan,  mangsa telah dirogol oleh ketiga-tiga suspek pada malam Khamis lalu sekitar pukul 9.00 malam.

Mangsa kini ditempatkan di Hospital Tawau untuk rawatan dan pemantauan lanjut.

SITI AISHAH MD ISA