fb fb fb fb fb

TDM tumpaskan aktiviti seludup ketum di sempadan negara

Foto ATM

KUALA NERANG, 12 Oktober- Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan ketum seberat 628 kilogram (kg) di sempadan Malaysia-Thailand pada semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) berkata, kejadian tersebut dikesan pada pukul 3.30 petang berlaku di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

"Pasukan beroperasi berjaya mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diiringi beberapa buah motosikal dalam keadaan mencurigakan melalui laluan di sempadan sebelah Malaysia.

"Pasukan beroperasi bertindak mengejar kesemua kenderaan tersebut dan mendapati terdapat sebuah pacuan empat roda dan sebuah motosikal telah terbalik dipercayai hilang kawalan ketika cuba melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan dan motosikal tersebut menemukan bungkusan dipercayai daun ketum dalam sembilan buah guni putih dan 33 plastik hitam.

Nilai keseluruhan barangan yang dirampas termasuk pacuan empat roda serta motosikal bernilai RM81,340 manakala nilai ketum dianggarkan bernilai RM18,840.

Kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada pihak polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI