fb fb fb fb fb

Suri rumah rugi RM137,500 kena pukau tiga wanita

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman

KUANTAN, 8 Januari- Seorang suri rumah kerugian RM137,500 selepas disyaki dipukau tiga wanita yang kononnya bertanyakan alamat individu tidak dikenali di daerah Kuantan, Pahang.

Mangsa, 57 tahun menyerahkan barang kemas dianggarkan seberat 250 gram dan emas 999 kepada suspek.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa kemudiannya diminta untuk mengambil wang simpanan di rumah dan bank.

Mangsa mengesyaki dirinya dipukau setelah berada di rumah.

Dalam kes lain, seorang suri rumah berusia 67 tahun turut terpedaya dengan skim pelaburan dikenali sebagai P Glo Pro selepas melihat iklan melalui aplikasi YouTube pada 8 Disember lalu.

Menurutnya, suspek mendakwa pelaburan tersebut menawarkan keuntungan harian yang lumayan dan telah memasukkan mangsa ke dalam kumpulan sembang WhatsApp bagi meyakinkannya.

Susulan itu, mangsa menggunakan wang simpanannya telah membuat tiga transaksi berjumlah RM160,000 ke dua akaun bank yang diberikan suspek.

Namun mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas suspek meminta bayaran tambahan untuk menebus kononnya keuntungan pelaburan sebanyak RM500,000.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE