fb fb fb fb fb

Suami isteri ditahan bantu siasatan kematian kanak-kanak perempuan

Sepasang suami isteri ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak–kanak perempuan berusia dua tahun yang jatuh daripada sebuah pangsapuri di Taman Daya, di sini, pada Selasa / Foto Hiasan

JOHOR BAHRU, 1 Ogos - Sepasang suami isteri ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak–kanak perempuan berusia dua tahun yang jatuh daripada sebuah pangsapuri di Taman Daya, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP), Raub Selamat berkata kedua-dua suspek yang ditahan berumur 56 dan 78 tahun, mempunyai hubungan rapat dengan mangsa.

Siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa baru selesai beriadah di kolam renang pangsapuri itu dan sedang menunggu ibunya di kediamannya di tingkat 16.

"Ketika itu, ibu mangsa bersama ahli keluarga lain, berada di pusat dobi pangsapuri di tingkat tujuh.

"Mangsa dijumpai di aras lapan pangsapuri tersebut, dipercayai terjatuh daripada salah satu tingkap yang dibiarkan terbuka, serta tidak berjeriji, di rumah suspek," katanya menerusi kenyataan.

Mangsa yang cedera parah di bahagian kepala, meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31 ( 1 ) ( A ) Akta Kanak–Kanak 2001 kerana wujud unsur pengabaian.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN