fb fb fb fb fb

SPRM reman dua pegawai atasan syarikat pembekalan air buat tuntutan palsu

FOTO SPRM JOHOR

JOHOR BAHRU, 30 April- Dua pegawai atasan sebuah syarikat pembekalan air di Johor, direman sehari bagi membantu siasatan berhubung kes penerimaan rasuah dan membuat tuntutan palsu pada 2023.
 
Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Nurzihan Abdul Rehman selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, SPRM di Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi tadi.
  
Kedua-dua lelaki berusia 36 dan 40 tahun sebelum itu ditahan, di pejabat SPRM Selangor, pukul 2 petang semalam.
 
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai menerima rasuah daripada dua syarikat kontraktor, sebagai balasan membantu mendapatkan kerja-kerja perkhidmatan serta pembekalan daripada syarikat air berkenaan.
 
Suspek juga disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu, berhubung permohonan sumbangan bagi sebuah program yang tidak dilaksanakan sepenuhnya, berjumlah RM3.3 juta.
 
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias mengesahkan perkara itu dan kes disiasat mengikut seksyen 16(a)(A) dan seksyen 18 Akta SPRM 2009.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE