fb fb fb fb fb

'Geng Bob' tumpas, lima ditahan edar dadah

Foto: Polis Hulu Selangor

KUALA LUMPUR 30 April - Polis berjaya menumpaskan Geng Bob dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah apabila menahan lima lelaki tempatan di sebuah kawasan perumahan di Hulu Bernam, Hulu Selangor pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Ahmad Faizal Tahrim berkata kesemua suspek berusia 21 hingga 59 tahun yang mempunyai pertalian keluarga dan aktif mengedar dadah antara enam hingga lapan bulan lalu itu ditahan pada pukul 10.50 malam.

Polis turut merampas tiga ketulan ganja seberat 2.5 kilogram bernilai bernilai RM7,762.40 serta menyita tiga buah motosikal jenis Yamaha 125z bernilai RM21,000.

"Dua ketulan ganja dibalut dengan plastik lut sinar (1.7kg) dijumpai di atas siling bumbung rumah berkenaan manakala satu lagi (0.77 kg) di atas almari pakaian dalam sebuah bilik.

“ Tiga dari suspek mempunyai hubungan kekeluargaan manakala dua lagi merupakan rakan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Faizal memaklumkan kesemua suspek masing-masing bekerja sebagai tukang gunting rambut, pemandu lori, kelindan lori dan penganggur dan tiga daripada mereka mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

Ujarnya kesemua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari mulai esok hingga 5 Mei ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan," tambahnya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI