fb fb fb fb fb

Sindiket penipuan mata wang kripto tumpas, 21 individu ditahan

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (paling kiri) menunjukkan barang rampasan 55 telefon bimbit pelbagai jenama / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berjaya menahan 21 individu yang terlibat dalam kegiatan pusat panggilan (Calling Centre) penipuan pelaburan mata wang kripto di sekitar ibu negara pada 19 Ogos lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pusat panggilan tersebut baru memulakan operasi sebulan dan sindiket menggunakan banglo mewah yang mempunyai dua lapisan pagar tinggi dan terletak jauh dari jalan utama sebagai pusat operasi bagi menyembunyikan kegiatan mereka daripada pihak berkuasa.

"Hasil serbuan, 21 individu telah ditahan, terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan, 16 lelaki dan seorang wanita warga China, seorang lelaki warga Hong Kong, seorang wanita warga Laos dan seorang lelaki warga Myanmar berusia antara 22 hingga 37 tahun," katanya pada sidang media, di sini.

Menurut Ramli, suspek yang ditahan berperanan mencari mangsa melalui platform media sosial seperti Tinder dan 9Monster.

Beliau berkata pihaknya turut merampas 17 set komputer, 55 telefon bimbit pelbagai jenama, satu router, satu set kunci rumah dan dua unit penggera.

Siasatan juga mendapati ahli sindiket masuk ke Malaysia menerusi Pas Lawatan Sosial dan kesemua mereka menerima gaji dalam bentuk komisen iaitu 20 peratus daripada wang yang berjaya ditipu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN