fb fb fb fb fb

Sindiket 'Gang Wong' tumpas, rampasan barangan RM51.2 juta

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam sidang media di ibu negara

Kuala Lumpur, 24 Mei- Polis berjaya menumpaskan sindiket 'Gang Wong' dengan rampasan pelbagai jenis barangan bernilai RM51.2 juta.

Sindiket penipuan pelaburan Forex dan mata wang kripto itu dipercayai telah beroperasi sejak 2017, berpangkalan di luar negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata 10 individu warga tempatan ditahan dalam serbuan di sekitar Lembah Klang pada 13 hingga 21 Mei lalu.

Antara yang disita termasuk 18 kenderaan mewah, 203 motosikal, 10 beg tangan, 75 utas jam, 129 keping geran kenderaan dengan nombor pendaftaran eksklusif dan wang tunai.

Tan Sri Razarudin memaklumkan perkara tersebut dalam sidang media di ibu negara.

Berdasarkan siasatan, sindiket ini menjalankan pengubahan wang haram menggunakan kaedah seperti urusan jual beli nombor pendaftaran eksklusif dan jam tangan berjenama mewah di kedai jam bertempat di Bukit Jalil.

Selain itu, mereka turut melaburkan wang dalam perladangan buah durian seluas 100 ekar dan menggunakan pengurup wang tidak berdaftar untuk menukar kripto kepada tunai sebagai modus operandi sindiket tersebut.

Mereka yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 28 hingga 51 tahun.

Kesemua individu ditahan reman tiga hingga tujuh hari di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan menjauhi sebarang aktiviti mencurigakan serta memberi kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan jenayah pengubahan wang haram.

ROSLINA BINTI DIN