GEORGE TOWN, 10 November - Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran ganja antarabangsa dengan rampasan mencecah RM8.8 juta, menjadikannya yang terbesar direkodkan tahun ini.
Ketua Polis Negeri, Datuk Azizee Ismail mengesahkan lapan individu ditahan menerusi dua serbuan di Bukit Mertajam pada 4 dan 5 November lepas.
"Dalam serbuan pertama, enam suspek ditahan di sebuah inap desa di Perda yang dijadikan tempat penyimpanan dan pembungkusan semula dadah.
"Penahanan itu membawa serbuan susulan dengan penangkapan seorang warga tempatan bersama isterinya yang merupakan warga Thailand, disyaki dalang utama sindiket", katanya.
Siasatan mendapati sindiket membawa masuk bekalan ganja dari Thailand ke negara ini menggunakan laluan darat dari Pantai Timur.
Hasil serbuan dan pemeriksaan membawa kepada penemuan 17 bagasi disyaki bunga ganja.
Turut disita dua kenderaan.
Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 11 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.