fb fb fb fb fb

Sebuah pasar raya di Perak di serbu, kenakan syarat pembelian barangan

Foto KPDN Perak

SERI ISKANDAR, 18 April - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu sebuah pasar raya, di sini yang mengenakan syarat pembelian barangan bernilai RM20 sebelum membenarkan pengguna membeli minyak paket 1 kilogram (kg).

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail dalam kenyataan memaklumkan, serbuan berkenaan adalah hasil tindakan operasi pemeriksaan sepasukan anggota penguatkuasa KPDN Perak Cawangan Manjung melalui aduan orang awam yang mengadu bahawa peniaga mengenakan syarat untuk membeli minyak masak paket 1kg bersubsidi di premis tersebut.

"Pasukan penguatkuasa KPDN telah melakukan dua kali uji beli melalui Ops Samar dan uji beli pertama mendapati pekerja premis tersebut memaklumkan bekalan minyak masak tiada di premis.

"Uji beli kedua pula dilakukan dengan membuat pembelian barangan lain bernilai RM15 dan mendapati pekerja premis membenarkan pembelian 1 paket minyak masak 1 kg," menurut kenyataan itu.

Berdasarkan maklumat tersebut, sepasukan anggota penguatkuasa beruniform telah melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas premis perniagaan tersebut dan hasilnya telah menemui sebanyak 32 paket minyak masak 1kg bersubsidi yang disimpan di dalam stor premis berkenaan.

Berikutan penemuan tersebut, satu arahan pengisytiharan stok bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberikan kepada premis berkenaan.

Siasatan lanjut mendapati premis memiliki lesen runcit barang kawalan (CSA) gula, minyak masak dan tepung yang masih sah.

Sebanyak 32 kg minyak masak paket 1 kg yang ditemui tersebut telah disita untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM80.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

TETITIA YUSOFF