fb fb fb fb fb

Pemilik kebun disambung reman dua hari lagi

PDRM

KULIM, 16 Julai- Tempoh reman seorang lelaki yang juga pemilik kebun di sini disambung dua hari lagi bagi membantu siasatan kes dua beradik maut selepas termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus, minggu lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Kulim, Mirza Mohamad hari ini membenarkan permohonan polis untuk menyambung tempoh reman sehingga Khamis terhadap lelaki berusia 33 tahun itu.

Dia sebelum ini ditahan reman selama enam hari bermula 11 Julai lepas mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta 611 membabitkan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan iaitu cuai membabitkan bahan beracun.
 
Dalam kejadian pada 7 Julai lalu, Muhammad Akil Syauqi, 3, dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, kritikal selepas termakan keropok berkenaan.

Pemilik kebun dikatakan mencampur keropok terbabit dengan racun tikus bagi tujuan menghalau haiwan liar termasuk kera yang merosakkan tanamannya.

Bagaimanapun pada 10 Julai lepas, Muhammad Akil Syauqi meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang, manakala Muhammad Luth Syauqi meninggal dunia, dua hari kemudian.
 
Jenazah kedua-dua beradik itu dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, Baling.

ARTIKEL BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA