KUANTAN, 14 Ogos - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 27 Nov ini untuk keputusan rayuan seorang bekas majistret bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM1.05 juta kerana meminta dan menerima suapan daripada seorang peniaga.
Hakim Datuk Mohd Radzi Harun membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam RSN Rayer yang mewakili Mohamad Amin Shahul Hamid, 43, dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Mohamad Amin didakwa meminta suapan berjumlah RM100,000 dan menerima RM110,000 daripada Hassan Basri Ahmad Sutan Modo di sekitar Lipis serta Raub antara 5 Julai hingga 22 Okt 2019 sebagai dorongan untuk mengenakan hukuman denda sahaja terhadap lelaki itu yang didakwa memiliki rokok seludup.
Pada 18 Mac 2022, Mahkamah Sesyen menjatuhi hukuman penjara berjumlah 58 tahun dan denda RM1.05 juta terhadap Mohamad Amin selepas dia didapati bersalah atas enam pertuduhan meminta serta menerima suapan daripada Hassan Basri.
Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain juga memerintahkan tertuduh, yang sebelum ini berkhidmat di Lipis dan Raub, menjalani hukuman penjara 72 bulan jika gagal membayar denda.
Bagaimanapun, Ahmad Zamzani memerintahkan Mohamad Amin menjalani hukuman penjara secara serentak dan ini bermakna tertuduh hanya perlu meringkuk dalam penjara selama 12 tahun.
Hakim itu turut membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman kerana ingin merayu ke Mahkamah Tinggi dan menaikkan jumlah jaminan daripada RM25,000 kepada RM50,000 dengan seorang penjamin. - BERNAMA