fb fb fb fb fb

Polis Sarawak rampas dadah bernilai lebih RM630,000

FOTO POLIS SARAWAK

KUCHING, 15 April- Pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM639,000 dirampas dalam serbuan berasingan di Miri, Jumaat lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata menerusi satu kenyataan memaklumkan dua lelaki, masing- masing berumur 26 dan 33 tahun yang menjadi pengedar dadah dengan upah antara RM2,000 hingga RM5,000 turut ditahan.

"Lelaki berumur 26 tahun itu telah ditangkap di hadapan sebuah pusat hiburan di Miri dan merampas 31.73 gram dadah jenis syabu.

"Berikutan itu, dengan dipandu arah oleh suspek, pasukan polis telah menahan seorang lelaki berumur 33 tahun di sebuah kondominium dan merampas sejumlah 16,197 gram syabu, 198 gram ketamin dan 3,750 biji pil Erimin 5," katanya.

Mancha berkata jumlah keseluruhan rampasan dadah yang bernilai RM639,250 itu dianggarkan boleh digunakan oleh sejumlah 85,194 penagih.

"Polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Proton Wira bernilai RM10,000 dan seutas jam tangan bernilai RM5,000.

"Ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif methamphetamine dan amphetamine,” katanya.

Menurut beliau, siasatan setakat ini mendapati suspek pertama mempunyai empat rekod jenayah lampau, manakala suspek kedua 12 rekod iaitu masing-masing enam bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan enam di bawah Kanun Keseksaan.

Suspek kini disiasat bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika dikenakan hukuman penjara, boleh dikenakan hukuman hingga 12 kali sebatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE