fb fb fb fb fb

Polis minta bantuan orang ramai kesan pencuri pakaian dalam di Balik Pulau

FOTO HIASAN

BALIK PULAU, 15 Mei - Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lelaki yang mencuri pakaian dalam wanita di ampaian sebuah rumah di Titi Teras, di sini seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal dalam kenyataan berkata, ia susulan laporan yang dibuat seorang wanita, 32, semalam yang mendakwa pakaian dalam yang disidai di luar rumah telah hilang.

“Sebaik menyedari pakaian dalam yang disidai di ampaian hilang, pengadu bertindak memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Dalam rakaman tersebut kelihatan seorang lelaki tidak dikenali telah mengambil pakaian dalam milik pengadu sebelum beredar dengan menunggang motosikal,” katanya.

Kamarul Rizal berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular rakaman berdurasi 60 saat memaparkan seorang lelaki bertopi keledar memanjat pagar sebuah rumah dan mengambil pakaian dalam wanita yang disangkut di ampaian sebelum segera beredar.

TETITIA YUSOFF