fb fb fb fb fb

Polis Kelantan tahan tiga lelaki, rampas dua pucuk pistol

Datuk Muhamad Zaki Harun (dua dari kiri) memegang dua pucuk pistol yang dirampas

KOTA BHARU, 24 Januari- Tiga lelaki ditahan dan dua pucuk pistol termasuk satu pistol tiruan dirampas polis Kelantan semalam.
 
Turut dirampas empat biji peluru dalam operasi itu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua suspek berusia 31 hingga 45 tahun ditahan dalam dua operasi di dua buah rumah berasingan di Kampung Pasir Kelang, Kuala Krai pada pukul 11.00 pagi dan 7.30 malam.

"Maklumat diterima daripada sebuah keluarga yang datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menjelaskan mengenai bapanya selalu mendera dan terlibat dalam kegiatan dadah.

"Seorang daripadanya mempunyai tiga rekod jenayah dengan lima rekod narkotik, seorang lagi rakan suspek didapati positif dadah," katanya dalam sidang media di sini.

Ketiga-tiga suspek direman selama seminggu bermula hari ini hingga Selasa depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.
 
Dalam perkembangan berasingan, pihaknya memohon kerjasama masyarakat untuk mengesan 17 individu dikehendaki membabitkan kesalahan jenayah, narkotik dan komersil.
 
Kesemua suspek berusia antara 25 hingga 57 tahun itu dikehendaki polis sejak tiga tahun lalu.
 
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan 17 individu berkenaan diminta menghubungi pihak polis atau balai polis berdekatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI