fb fb fb fb fb

Polis Kedah rampas dadah bernilai RM4.12 juta

Foto RTM

SUNGAI PETANI, 18 Februari-Polis Kedah berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM4.12 juta selepas menahan seorang lelaki di tepi jalan di Pusat Perniagaan Zamrud, Sungai Petani pada Ahad lalu.

Suspek warga tempatan berusia 46 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Muda pada pukul 7.00 pagi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek, pihaknya telah merampas satu slot kunci yang membawa kepada penemuan sejumlah dadah di dalam but sebuah kereta.
 
Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan yang diletakkan di tempat parking kereta di tepi jalan PPZ 1, telah berjaya menemukan sejumlah dadah disyaki jenis Syabu anggaran berat 51,000 gram dan pil MOMA anggaran berat 14,900 gram di dalam tiga buah beg kanvas besar berzip warna oren bercorak dan satu beg kanvas besar berzip warna biru.
 
Rampasan dadah syabu tersebut boleh digunakan untuk 255,000 orang penagih dadah, manakala bagi Pil MOMA boleh digunakan oleh 28,000 orang penagih.
 
Hasil semakan mendapati, suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
 
Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 23 Februari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
 

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD