SUBANG JAYA, 13 Disember - Polis sedang menjalankan siasatan membabitkan sebuah video tular yang memaparkan sebuah treler membawa muatan sebuah helikopter dari arah Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) ke susur Jalan Persiaran Kewajipan, sekali gus mengakibatkan kesesakan lalu lintas.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat memaklumkan siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 4.30 petang, 4 Disember 2025.
"Sebuah treler yang sedang membawa muatan sebuah helikopter tidak dapat melalui susur jalan tersebut akibat muatan terlalu panjang sehingga mengakibatkan kesesakan jalan raya dan mengganggu pengguna jalan raya yang lain.
"Dalam kejadian ini juga sebuah ambulans turut dilihat terganggu perjalanannya akibat daripada kesesakan jalan raya tersebut," katanya menerusi kenyataan.
Tambah ACP Wan Azlan, pihak polis masih belum mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan terlibat dan kes disiasat di bawah Kaedah Rule 9(2) LN 166/59.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya, Inspektor Mohd Azizul Hakim Rolan di talian 011-28914495.