fb fb fb fb fb

Polis bongkar aktiviti memasak, menjual ketum di Bayan Lepas

Polis Daerah Barat Daya berjaya membongkar kegiatan memasak dan menjual ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Lintan Bayan 6, di Bayan Lepas / Foto RTM

BAYAN LEPAS, 6 Januari – Polis Daerah Barat Daya berjaya membongkar kegiatan memasak dan menjual ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Lintan Bayan 6, di sini pagi tadi.

Hasil risikan dan maklumat orang awam, seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun telah ditahan bersama rampasan 600 bungkus ketum yang siap diproses, dengan anggaran berat keseluruhan 225 liter.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Nermaljit Singh berkata ketum tersebut dipercayai untuk diedarkan ke kawasan Teluk Bahang dan George Town.

“Suspek yang bekerja sebagai penghantar Grab mengaku memperoleh pendapatan sebanyak RM8,000 sebulan daripada kegiatan menjual ketum,” katanya kepada pemberita, di sini.

Pemeriksaan lanjut di rumah suspek turut menemukan beberapa senjata berbahaya seperti pedang samurai, kerambit dan senjata tiruan.

“Kegiatan ini dilakukan untuk menjana ekonomi; itulah alasan yang diberikan oleh suspek. Berkaitan senjata-senjata berbahaya dan senjata tiruan yang ditemui, setakat ini suspek belum memberikan sebarang kenyataan. Pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut,” tambah beliau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Tapisan dan Letupan (Senjata Berjadual).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN