KOTA BHARU, 8 Januari - Seorang pesara tentera mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Kota Bharu, hari ini atas dua pertuduhan mencederakan dua anak tirinya sehingga mengalami kecederaan di Pengkalan Chepa, pada 3 Januari lalu.
Tertuduh, Nurul Haida Mohd Lazin, 38 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah dan Majistret Rais Imran Hamid.
Dalam pertuduhan pertama di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa menganiayai kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun enam bulan dengan cara memukul mangsa hingga mengalami kecederaan di bahagian mulut dan telinga.
Manakala pertuduhan kedua di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.
Perbuatan itu dilakukan di tingkat tiga sebuah rumah di Pengkalan Chepa pukul 4.00 petang pada 3 Januari lalu.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang boleh dihukum bawah Seksyen 31 (1) akta yang sama.
Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda hingga RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibaca bersama Seksyen 326A akta yang sama yang memperuntukan hukuman penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Mohamad Syamsul Ikhmal Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Sukri Mohamad.
Dalam pendakwaan Mohd Faiz memohon jaminan RM15,000 ditawarkan kepada tertuduh memandangkan mangsa adalah kanak-kanak.
Sukri pula memohon jaminan minima diberikan memandangkan anak guamnya adalah pesara pilihan tentera tahun lalu selain tertuduh menjaga enam orang anak.
Dalam rayuannya beliau berkata, tertuduh menjaga tiga anak kandung dan tiga anak tiri, malah anak guamnya juga sudah menjaga anak tirinya itu sudah empat tahun dan kejadian tersebut tidak pernah berlaku.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM10,000 kepada tertuduh bagi Mahkamah Sesyen dan RM3,000 bagi Mahkamah Majistret.
Mahkamah menetapkan 12 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.