fb fb fb fb fb

Pesara guru rugi lebih RM200,000

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU, 2 Oktober- Seorang pesara guru wanita berusia 65 tahun mengalami kerugian sebanyak RM201,900 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan melalui panggilan telefon atau phone scam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner (ACP) Azli Mohd Noor dalam satu kenyataan berkata, kejadian bermula pada 31 Ogos lalu apabila mangsa, menerima panggilan daripada individu yang mendakwa sebagai kakitangan Ampang Medical Centre.

"Suspek memaklumkan kepada mangsa yang berasal dari Cendering, Kuala terengganu bahawa dia mempunyai tuntutan insurans sebanyak RM68,800, namun mangsa menafikan perkara tersebut.

"Suspek kemudian meminta mangsa membuat laporan polis kononnya terdapat penyalahgunaan maklumat peribadi," katanya.

Bagaimanapun pada 24 September lepas suspek kembali menghubungi mangsa dan mengarahkannya membuka akaun di Agro Bank dengan deposit awal sebanyak RM5,000, kononnya untuk tujuan pemantauan Bank Negara Malaysia (BNM).

Mangsa turut diarahkan memindahkan sejumlah RM201,900 daripada akaun Tabung Haji miliknya ke akaun Agro Bank yang baharu dibuka.

"Curiga dan berasa ditipu, mangsa kemudian berkongsi kejadian tersebut dengan anaknya, yang segera membuat semakan baki dengan pihak Agro Bank," jelas Azli.

Hasil semakan mendapati baki wang dalam akaun mangsa hanya tinggal RM100, dan sebanyak 20 transaksi keluar dari akaun berkenaan ke akaun bank yang tidak dikenali telah dilakukan.

Menurut kenyataan itu, wang berkenaan adalah hasil pampasan persaraan serta simpanan milik mangsa.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI