fb fb fb fb fb

Penoreh getah ditahan reman, bantu siasatan kes tetak

Penoreh getah berusia 54 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes tetak

PASIR PUTEH, 29 Oktober - Mahkamah Majistret Pasir Puteh, Kelantan, hari ini, membenarkan permohonan reman selama tujuh hari terhadap seorang penoreh getah berusia 54 tahun bagi membantu siasatan kes tetak sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki di Kampung Gong Kulim, Pasir Puteh, semalam.

Majistret Mohamad Aiman Azahan mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan yang dibuat polis.

Suspek direman bermula hari ini hingga 4 November depan bagi membantu siasatan lanjut kes bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.

Terdahulu, suspek tiba di pekarangan Mahkamah Pasir Puteh pada 9.20 pagi dengan memakai pakaian lokap warna ungu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Zakaria ketika dihubungi berkata dalam kejadian kira-kira 6.30 petang semalam, mangsa berusia 44-tahun tahun cedera parah di tangan sebelah dan kepala sebelah kanan selepas dipercayai ditetak dengan sebilah parang oleh suspek berusia 55 tahun.

Punca kejadian disyaki akibat perselisihan faham yang sudah lama berlaku. Suspek merupakan adik beradik angkat ibu mangsa dan tinggal berhampiran dengan rumah mangsa.

Mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut manakala kes disiasat bawah Seksyen 326 dan Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI