fb fb fb fb fb

Penjawat awam mengaku salah pertuduhan curi lembu

(Mohd Balian Sidek di pekarangan Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan)

KOTA BHARU, 5 Oktober- Seorang penjawat awam mengaku bersalah di Mahkamah Majistret sini hari ini terhadap dua pertuduhan termasuk mencuri lembu di Machang, Kelantan pada bulan lalu.
 
Mohd Balian Sidek, 43, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amal Razin Alias.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mencuri lembu daripada milikan Abdul Manaf Arifin, 52, pada pukul 5.30 pagi di Kampung Joh Labo, Machang pada 25 September lalu.
 
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian boleh dihukum penjara dan denda atau sebat.
 
Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd Balian mengingkari suatu perintah diisytiharkan oleh seorang anggota polis yang meminta dia menyerah diri, sebaliknya bertindak melarikan diri dengan kereta hingga menyebabkan berlaku pelanggaran di lokasi dan waktu yang sama.
 
Dia didakwa mengikut Seksyen 118 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga sebulan atau denda sehingga RM400 atau kedua-duanya sekali.
 
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad dan Mohd Balian tidak diwakili peguam.
 
Terdahulu, Nursyafiqah mencadangkan Mohd Balian diberi ikat jamin sebanyak RM8,000.
 
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan menetapkan Ahad ini sebagai tarikh hukuman dan fakta kes.

(Mohd Balian Sidek di pekarangan Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan)

Media Baharu