fb fb fb fb fb

Peniaga rugi RM1.2 juta ditipu pelaburan tidak wujud

Foto Hiasan

IPOH, 11 Jun- Seorang peniaga mengalami kerugian RM1.2 juta selepas ditipu pelaburan perniagaan barang-barang lusuh secara bersemuka.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata mangsa berusia 48 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pada pertengahan tahun 2022, mangsa telah berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ejen pelaburan.

"Suspek telah menawarkan satu pelaburan perniagaan barang-barang lusuh yang mendatangkan keuntungan empat peratus sebulan daripada modal yang dilaburkan. Tempoh 18 bulan diperlukan untuk mendapatkan pulangan modal tersebut.

"Oleh kerana tertarik dengan tawaran itu, mangsa telah mengeluarkan tiga keping cek berjumlah RM1.2 juta kepada suspek," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Mohd Yusri berkata mangsa menyedari ditipu selepas suspek memberi pelbagai alasan apabila mangsa ingin mendapatkan pulangan pertama.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI