fb fb fb fb fb

Pengarah syarikat direman 5 hari, disyaki minta & terima rasuah kira-kira RM1 juta

FOTO SPRM

PUTRAJAYA, 16 Januari- Seorang pengarah syarikat ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1 juta.

Suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu telah ditahan pukul 8 malam semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Perintah reman selama lima hari sehingga 20 Januari itu telah dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Siasatan awal mendapati suspek memberikan kerja-kerja sebagai subkontraktor berhubung tender perkhidmatan membekal makanan dan minuman kepada para pekerja berjumlah kira-kira RM900 juta.

Kesalahan itu dipercayai dilakukan pada Ogos 2023 dan wang rasuah dikesan dipindahkan ke akaun milik syarikat suspek.

Suspek disyaki mengaku sebagai kontraktor utama bagi tender pembekalan makanan dan minuman selama lima tahun kepada pekerja di sebuah loji penapisan minyak sedangkan pembekalan tersebut tidak wujud.

Suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes penipuan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE